LAPORAN TAHUNAN JPA TAHUN 2023

Jabatan Perkhidmatan Awam 088

LEADERSHIP AND DEVELOPMENT TRAINING FOR FUTURE (L4F) 03 L4F merupakan program pembangunan kompetensi bagi pegawai Gred 41–56 yang bertujuan membangunkan kemahiran dan kepimpinan dalam kalangan pegawai muda sehingga kepada pegawai kanan kerajaan. Modul program yang dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek kemahiran termasuk pembangunan kemahiran pengurusan, komunikasi, kepimpinan strategik dan kemahiran pentadbiran yang lain. Elemen-elemen kemahiran yang diterapkan ini adalah untuk mempersiapkan pegawai-pegawai ini bagi menghadapi cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar dalam Perkhidmatan Awam kelak. Pegawai juga turut dilatih untuk memahami dan mendalami isu-isu dasar pentadbiran awam, merancang dan melaksanakan dasar-dasar kerajaan, serta keupayaan memimpin organisasi atau jabatan yang lebih besar dengan lebih berkesan dan efektif.

KERJASAMA JICA 04 Program ini merupakan salah satu agenda nasional melibatkan kerjasama Kerajaan Jepun di bawah polisi Dasar Pandang ke Timur ( Look East Policy Program - LEP), yang telah dilaksanakan sejak tahun 1981. Terdapat beberapa program yang dilaksanakan di bawah program kerjasama Malaysia-Jepun ini, antaranya ialah Economic Partnership Programme (EPP), Long Term Training Programmes ( Country Focused Training ) dan Young Leaders Training Programme (YLP). Program program ini merupakan program latihan berbentuk kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun dengan tujuan meningkatkan kompetensi pegawai-pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia melalui program latihan dalam bidang-bidang tertentu di Jepun. Modul-modul yang dirangka dapat memberi pendedahan kepada amalan tadbir urus yang baik oleh agensi Kerajaan dan swasta di Jepun, sekaligus dapat memberi pendedahan dan pengetahuan baharu yang berguna dalam menambahbaik tadbir urus sedia ada Perkhidmatan Awam di Malaysia. Selain itu, penyertaan pegawai ke program ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada Pegawai Awam untuk mengikuti program-program yang melibatkan pakar-pakar dari negara Jepun dengan kos yang efektif melalui perkongsian kos antara kedua-dua negara.

Made with FlippingBook - professional solution for displaying marketing and sales documents online