LAPORAN TAHUNAN JPA TAHUN 2023
Jabatan Perkhidmatan Awam 060
03
KOLOKIUM PENYELIDIKAN INTAN 2023
"Penyelidikan Wahana Menuju Masa Hadapan yang MADANI"
YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam hari ini telah menyampaikan ucaptama seterusnya merasmikan Kolokium Penyelidikan INTAN 2023 di Auditorium INTAN Bukit Kiara. Kolokium Penyelidikan INTAN (KPI) 2023 yang diadakan mulai 13 hingga 14 September 2023 merupakan pembentangan kajian oleh Pegawai Awam di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) sama ada bagi pengajian Ph.D mahupun Sarjana. Penganjuran kolokium tahun ini mengangkat tema "Penyelidikan Wahana Menuju Masa Hadapan yang MADANI", iaitu menggambarkan penyelidikan mampu menjadi saluran dan sumbangan substantif kepada pembangunan dan pelaksanaan tadbir urus serta dasar awam yang bertujuan untuk mencapai pembangunan mampan, keharmonian sosial serta kesejahteraan rakyat. Kolokium kali ini mendiskusikan 31 hasil kajian di peringkat Ph.D dan Sarjana dengan merentasi lima sub-bidang iaitu Tadbir Urus & Dasar Awam, Kepimpinan, Keselamatan, Pengurusan (Kewangan, IT & Teknologi, Sains Sosial & Pembangunan Sumber Manusia) dan Ekonomi & Pembangunan Lestari. Selain itu, Forum Kolokium Penyelidikan juga telah berlangsung pada hari ini di mana tiga agensi penyelidikan iaitu Khazanah Research Institute, Merdeka Centre for Opinion Research dan Jabatan Perangkaan Malaysia (ILSM/
DOSM) telah berkongsi mengenai tatacara penyelidikan serta hasil-hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh agensi-agensi berkenaan. Turut diadakan Pertandingan Poster Penyelidikan yang dibuka penyertaan kepada Pegawai Awam, serta mahasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Sebanyak 17 poster penyelidikan telah dipertandingkan. Reruai-reruai pameran daripada beberapa Agensi Kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta turut disediakan bagi kunjungan peserta kolokium. Ini termasuklah jualan buku dan jurnal. KPI 2023 diharap memberi nilai tambah dari segi peningkatan kecekapan dan prestasi kerja menerusi aplikasi cadangan-cadangan penyelidikan dan pembudayaan penyelidikan dalam menyumbang kepada proses pembuatan keputusan, penyelesaian masalah dan penambahbaikan inisiatif-inisiatif.
Made with FlippingBook - professional solution for displaying marketing and sales documents online